logo-jatajata-doa

Portal Rasmi

KERAJAAN NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

BahasabahasaW3Cfaq-imgmaklumbalasmaklumbalaspeta-laman

Sejarah Kesultanan Melayu Pahang

Pengenalan

 image

Pahang adalah negeri yang terletak di bahagian tengah membawa ke timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia bersempadan dengan Laut China Selatan di timur, negeri Kelantan dan Terengganu di utara, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan di barat, dan Johor di selatannya.

 

Pahang merupakan negeri yang terbesar dengan gunung tertinggi dan sungai terpanjang di bahagian Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), merupakan negeri yang tertua selepas Patani (sekarang dalam wilayah Thailand), iaitu lebih tua dari Melaka. Di zaman silam, kerajaannya meliputi hujung tanah hingga ke Singapura. Rajanya juga mempunyai talian persaudaraan melalui perkahwinan dengan Parameswara, iaitu Raja yang pertama membuka Melaka.

 

Walaupun kerajaan di negeri Pahang telah lama wujud, namun corak pemerintahan Kesultanan Melayu Islam di negeri Pahang wujud selepas terbentuknya Kerajaan Islam di Melaka. Sultan Pahang yang pertama adalah putera kepada Sultan Mansur Shah, Melaka (c.1470 M).

 

Kesultanan Melayu Pahang

Pada umumnya Kesultanan Melayu Pahang dibahagikan kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama, apabila pemerintahan Siam di Pahang telah diserang dan diambil alih oleh kerajaan Melaka. Maharaja Dewa Sura telah ditawan dan dibawa ke Melaka, puterinya, Puteri Onang Seri telah dikahwini oleh Sultan Mansur Shah berputerakan Raja Muhammad dan Raja Ahmad.

Berlakulah peristiwa di mana anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak yang bernama Tun Besar sedang bermain sepak raga telah dibunuh akibat ditikam dengan sebab telah menjatuhkan destar Raja Muhammad yang sedang berkuda. Pertelagahan kedua-dua keluarga segera ditegah oleh Bendahara Tun Perak dengan katanya yang masyhur “Nyiah! Nyiah kamu semua, nyiah kerana istiadat hamba Melayu tiada pernah derhaka. Tetapi akan anak raja seorang ini janganlah kita pertuan”. Lantaran peristiwa itu, Raja Muhammad telah ditolak dari bumi Melaka dan dirajakan di Pahang sebagai sultan yang pertama, bergelar Sultan Muhammad Shah (c. 1470). Makam baginda terdapat di Dusun Pinang, Pahang Tua, Pekan (c. 1475).

Raja Ahmad menyusul menjadi Sultan Pahang setelah kemangkatan Sultan Muhammad Shah. Dari keturunan baginda kedua inilah wujudnya dinasti pertama Kesultanan Pahang dari Kesultanan Melaka sehinggalah ke Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah. Dinasti ini tamat di negeri Pahang setelah Sultan Abdul Ghafur Mohayuddin Syah dan anakanda baginda, Raja Muda Abdullah dibunuh oleh seorang anggota keluarganya yang turut menerima hukuman yang sama (c. 1614). Makam keluarga diraja ini terdapat di Makam Chondong, Padang Buluh, Pekan.

Berikutnya, kesultanan di Johor telah mengambil alih pemerintahan di Pahang tetapi telah diserang oleh kerajaan Acheh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (Mahkota Alam). Kerajaan Acheh juga melanggar Johor Lama khususnya di Batu Sawar membawa bersama Sultan Alauddin Ri’ayat Shah serta Bendahara Paduka Raja Tun Mohamad atau dikenali juga sebagai Tun Seri Lanang bersama-sama puluhan ribu rakyat Johor dan Pahang ke Acheh. Seorang Puteri Pahang, Puteri Kamaliah dan anak saudaranya Raja Mughal, putera kepada Raja Ahmad turut dibawa ke Acheh. Puteri Kamaliah dikahwini oleh Sultan Iskandar Muda dan terkenal dalam sejarah dan puisi (nazam) di Acheh hingga hari ini sebagai Putroe Phang. Raja Mughal dijadikan anak angkat dan menantu kepada Sultan Iskandar Muda dan kemudiannya diangkat sebagai Sultan Acheh bergelar Sultan Iskandar Thani (1638-1641). Setelah kekuasaan Acheh bertambah reda di Johor dan Pahang dengan kemangkatan sultan serta ketiadaan zuriat Sultan Pahang, maka Pahang telah diletakkan di bawah satu wilayah pemerintahan berpusat di Johor dan Pahang diletak di bawah jagaan Bendahara. Pada masa ini, dinasti Kesultanan Negeri Pahang yang berpusat di Johor adalah dalam dinasti yang sama iaitu keturunan dari Sultan Melaka yang berasal usul dari Sultan Muhammad Shah hingga ke Sang Nila Utama, raja yang bermula di Palembang turun ke Bentan, Singapura dan membuka kerajaan di Melaka.

Pemerintahan dinasti ini berakhir dengan mangkatnya Sultan Mahmud Shah ke-2 di Kota Tinggi pada Ogos 1699 dibunuh oleh Laksamana Bentan Megat Seri Rama. Sultan Mahmud Shah ke-2 atau Marhum Mangkat Dijulang tidak mempunyai zuriat, maka telah digantikan oleh keluarga dan keturunan yang terkanan dan yang terdekat iaitu keluarga bendahara, Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil. Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil bergelar Sultan Abdul Jalil Ri’ayat Shah ke-4 (Marhum Mangkat di Kuala Pahang), adalah anak kepada Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid.

Dinasti ini kekal terus memerintah Kerajaan Johor-Riau-Pahang. Pada penghujung pemerintahan kerajaan ini, Raja bersemayam di Riau (Bentan), Bendahara di Pahang, Temenggung di Johor, dengan masing-masing mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan, kecuali dalam pelantikan baru Bendahara dan Temenggung dari kalangan zuriat masing-masing. Akibat campur tangan Belanda dan British melalui Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, hilanglah kekuasaan Riau ke atas wilayah Johor dan Pahang. Maka, Pahang dan Johor telah menjadi negeri berdaulat dan seterusnya melantik pemerintahan wilayah masing-masing sebagai sultan.

Pada 6 Ogos 1882, Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah bergelar Sultan Pahang yang pertama. Baginda telah mengalahkan kekandanya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir melalui perang saudara kerana perselisihan keluarga dan menyebabkan rakyat Pahang berpecah-belah untuk seketika. Semasa berundur ke Johor, Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan anakandanya Tun Koris telah meninggal dunia di Sedili pada bulan Mei 1863. Wan Ahmad kemudiannya dilantik sebagai Bendahara Siwa Raja dan bergelar sultan pada 6 Ogos 1882. Maka dari zuriat sultan inilah kekal sebagai pemerintahan Kesultanan Pahang hingga hari ini.

Salasilah Kesultanan Negeri Pahang

image

 

image

 

image

Sumber daripada YDH. Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Haji Wan Hassan
SSAP.,SIMP.,DSAP.,SAP.,JSM.,AMP


  •  
  • Print
  • Email this page